Saturday, June 28, 2008

Berbangsa Asing di Negara Sendiri?

Semasa menuntut di sekolah sehingga ke universiti, adalah menjadi satu sinonim bagi para pelajar didedahkan dengan keunikan negara Malaysia, yang tercinta ini. Saya masih ingat sehingga sekarang ada banyak tajuk karangan/ esei, baik yang perlu ditulis atau perlu dibaca, berkaitan dengan kepelbagaian etnik dan bangsa di Malaysia dan juga betapa harmoninya rakyat Malaysia hidup di tanah air ini dalam kelompok yang berbilang bangsa dan agama. Di sana dan sini, visual dan artikel berkenaan masyarakat majmuk di Malaysia mudah diperolehi, baik dari bahan bacaan atau pun di media elektronik.

Ironinya, biarpun konsep muhibah dan kepelbagaian etnik dan bangsa ini dicanang keliling dunia, saya tidak merasa semangat muhibah tersebut biarpun saya telah banyak menjelajah seantero Malaysia. Pun begitu, bukanlah maksud saya untuk memperkecil-kecilkan keunikan masyarakat kita. Saya berbangga dilahirkan di Malaysia di mana ada banyak peluang untuk mengenali agama dan budaya asing tanpa perlu membelanjakan wang untuk pengangkutan udara ke negara asing. Celik mata sahaja dan keluar dari rumah, sudah kelihatan kelibat keluarga berkulit kuning langsat berbahasa kantonis atau mandarin. Jalan ke depan sedikit, boleh tengok jiran tetangga berketurunan India sibuk mengemaskan halaman taman mereka. Ini lah uniknya Malaysia.

Seharusnya masyarakat kita berasa bertuah dengan keadaan yang sedemikian. Selama saya membesar dan belajar menjadi dewasa, ada rasa ingin bercinta dan berkahwin dengan orang bukan Melayu. Bukan kerana saya tidak suka akan lelaki Melayu, tetapi mahu mencuba untuk melahirkan zuriat hasil perkahwinan campur. Orang kata, anak-anak kahwin campur bijak & pandai, selain dari rupa yang cantik. Biarpun saya terdedah dengan budaya barat melalui cerita-cerita TV, dan ada juga pengaruh orang-orang tua yang lebih suka mat-salleh sebagai calon menantu, minat saya pada mat-mat salleh ni cuma setakat di dalam mimpi. Bagi saya, lebih mudah untuk mencari pasangan berbangsa 'asing' di negara sendiri, senang memahami antara satu sama lain. Itu sudah pasti menjadi 'plus point' kerana dilahirkan dan dibesarkan di dalam negara yang sama. Tengok cerita Hollywood pun ada saja percintaan antara White american dan Africa-american (Negro) di sana-sini. Biarpun berlainan warna kulit masih mudah terpaut hati, kerana saling mengenali dan memahami cara pemikiran dan budaya kehidupan masing-masing. 

Teringat saya semasa berusia 10 tahun dan bersekolah di Kuantan. Budak lelaki yang pertama suka pada saya namanya Siva. Montel & kemas orangnya. Semasa menyambut ulangtahun hari lahir yang ke-10, Siva datang ke rumah. Dia ketua kelas di sekolah. Kawan-kawan yang lain bagi bermacam-macam hadiah. Siva pun bagi hadiah, tapi dalam sampul hadiah tu ada RM10. Bagaimana agaknya Siva sekarang? Saya masih ingat nama kawan-kawan di sana, tapi sudah lama terputus hubungan. Tak dapat nak salahkan sesiapa sebab saya berpindah ke Alor Setar kurang setahun selepas sambutan hari lahir tahun tersebut. 

Zaman remaja saya banyak dipengaruhi dengan satu budaya- Melayu. Sebab saya bersekolah di kawasan luar bandar. Budak-budak cina dan india tak ramai bersekolah di sekolah kebangsaan. Depa sekolah di SJKC or SJKT. Masuk asrama penuh, majoriti Melayu. Kalau pun bukan Melayu, mereka adalah bumiputera Sabah dan Sarawak. Ada lah satu atau dua orang berketurunan Orang Asli semenanjung. Pun begitu, saya tidak pernah menutup pintu hati dan minda dari menerima salam persahabatan dari kawan-kawan berbangsa selain dari Melayu. Semasa berpindah semula ke Kuala Lumpur, saya berpeluang untuk kenal dengan ramai rakan Cina dan India; biarpun saya berada di dalam kelas aliran Arab. Biarpun rakan-rakan baik saya semasa sekolah semuanya Melayu, mereka sangat memahami semangat ke'antarabangsaan' yang kuat dilihat dari cara dan gaya pembawakan diri saya. 

Oleh kerana kurang peluang untuk mendekati teman-teman berbangsa 'asing', saya bertekad untuk berusaha supaya satu hari nanti saya akan berada di dalam kelompok campuran bangsa dan agama dengan bebas. Akhirnya bila melangkah ke menara gading buat kali kedua, saya berasa bersyukur kerana dapat terbang ke Sabah dan ditempatkan di kalangan mahasiswa dari seluruh negara. Tambah menarik, ada juga ramai pelajar antarabangsa dari Indonesia, China, Timur Tengah dan Turki di kalangan rakan-rakan seuniversiti. Oleh kerana tidak pernah dipengaruhi dengan konsep satu budaya dan bangsa, maka tidak susah bagi saya menghampiri mereka yang 'asing' ini dan menjadi rakan baik. 

Saya rindu benar dengan sahabat baik saya di universiti. Dia sekarang berada di Tokyo - to live his dream living in Japan. Bryant merupakan teman yang paling rapat sepanjang berada di universiti. Berbangsa Sino-Kadazan, dia datang dari keluarga Cina dan Kadazan Dusun. Status bumiputera yang dimilikinya datang dari sebelah bapanya yang berbangsa Sino-Kadazan. Walaupun begitu, kehidupan Bryant lebih cenderung kepada budaya Cina. Istimewanya dia dan keluarganya, oleh kerana mereka berasal dari Sabah, tiada istilah kaum atau budaya asing sesama rakan masyarakat di sana. Ada suara-suara sumbang kedengaran bila saya mula rapat dengan Bryant dan keluarganya. Tipu lah kalau saya katakan gosip-gosip buruk ini tidak memanaskan hati saya, terutamanya bila mereka mempersoalkan kekuatan pegangan agama saya. Pertama kali dalam hidup saya merasakan bahawa keluarga Bryant sangat memahami akan banyak perkara berkaitan dengan Melayu-semenanjung dan Islam. Kesungguhan mereka dalam memastikan saya tidak berasa kekok dan was-was dalam semua hal membuatkan saya menghormati dan menyayangi keluarga Bryant lebih dari teman-rakan. 

Kini selepas 1 tahun pasca universiti, saya dapati lebih mudah dan selesa untuk saya bergaul dan memperbaiki diri dalam karier dan kehidupan sosial di Kuala Lumpur. Kadang-kadang saya berasa sedih melihatkan nasib kawan-kawan yang dulunya sering bersangka-buruk kepada saya, masih terkontang-kanting berjuang untuk mencari tempat mendapatkan rezeki. Rakan-rakan satu program dengan saya semuanya sudah berkerjaya. Kami dahulu tidak disukai ramai rakan dan pensyarah kerana sikap keterbukaan yang dikatakan sedikit melampau. Biarpun ada ketikanya kami berasa sedih dengan layanan yang diterima, namun ketabahan dan semangat kekeluargaan sesama rakan mahasiswa program Perniagaan Antarabangsa patut dibanggakan. Kami semua naik ke pentas menerima segulung ijazah bersama-sama ribuan rakan dari lain-lain sekolah pengajian. Cuma yang bezanya, kini kami berbangga dengan nilai komersial yang diperolehi dan yang diperlukan dalam meneruskan perjuangan alam dewasa dan kerjaya, terutamanya menghadapi kuatnya ledakan globalisasi di Malaysia ini.

Alangkah uniknya dan bahagianya kita menjadi rakyat Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails