Monday, March 22, 2010

Pak Kaduk dan Ayam Sabungnya: Sila sambung cerita ini...

Pada zaman dahulu di sebuah kampong, tinggal seorang lelaki yang bernama Pak Kaduk. Pak Kaduk gemar bermain sabung ayam. Dia juga memiliki seekor ayam sabung. Ayam sabung Pak Kaduk boleh dikatakan antara yang paling handal. Oleh kerana itu, Pak Kaduk sangat sayangkan ayamnya. Setiap hari Pak Kaduk akan menghabiskan masa dengan ayam sabungnya, memandikannya, mencantikkannya dan melatihnya – persediaan bagi perlawanan sabung ayam yang seterusnya.

Kehidupan Pak Kaduk di kampong tidaklah begitu senang. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pun begitu Pak Kaduk juga tidak suka bekerja. Dia lebih gemar meluangkan masa dengan ayam sabungnya. Bagi Pak Kaduk, dia bukan malas tetapi kerana mempunyai cita-cita yang tinggi, Pak Kaduk rela menghabiskan masa dan tenaganya untuk mempertingkatkan kemahiran ayam sabungnya. Mana tahu satu hari nanti ayam sabung ini akan membawa tuah kepadanya.

Pada suatu hari, pihak istana berhasrat untuk mengadakan pertandingan sabung ayam dan telah menjemput semua ayam sabung handalan dari seluruh negeri untuk menyertai pertandingan tersebut. Hasrat pihak istana mengadakan pertandingan tersebut hanyalah untuk membuktikan bahawa ayam sabung milik raja adalah yang paling handal.

Mendengarkan tentang pertandingan sabung ayam berkenaan, Pak Kaduk dengan begitu yakin terus mahu menyertai pertandingan tersebut. Lalu disuruh isterinya oleh Pak Kaduk untuk membuatkannya sepasang baju yang paling cantik. Oleh kerana Pak Kaduk dan isteri orang susah, maka mereka tidak mempunyai wang untuk membeli kain yang cantik untuk dibuat pakaian.

Pak Kaduk memberikan idea kepada isterinya supaya dibuatkan pakaian dari menggunakan kertas yang boleh dilukis dengan cantik. Kata Pak Kaduk,

“Kita sudah lama hidup susah. Kalau menang pertandingan ini, kita akan jadi kaya. Bukannya orang tahu yang baju aku itu dibuat dari kertas. Aku yakin dengan kebolehan ayam aku. Kita mesti menang.”

Tiba hari pertandingan, Pak Kaduk datang ke istana dengan membawa ayamnya. Dia berjalan dengan penuh bergaya dan dengan penuh harapan. Di peringkat saringan, ayam sabung Pak Kaduk Berjaya membelasah ayam-ayam jaguhan yang lain.

Leka dan seronok dengan kemenangan ayam sabungnya, rasa yakin Pak Kaduk untuk menang pertandingan ini semakin tinggi. Di satu sudut di gelanggang pertandingan, pihak istana sudah berasa kurang yakin dengan kehandalan ayam raja, melihatkan kehebatan ayam sabung Pak Kaduk.

Raja berjalan ke arah Pak Kaduk dan berkata,“Beta lihat ayam kamu sangat hebat, Pak Kaduk.”


*************

This is written in Malay. Please use the translator widget, if you wish to read it in your local language.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails