Tuesday, March 9, 2010

Pantun pun tak tahu... masa sekolah tak belajar?

This entry is written in Malay. Please use the google translator widget on this page, if you wish to read it in English (or your local language)

Petang tadi saya terima SMS daripada seorang adik. SMS tersebut berbunyi, “Sorong papan tarik papan, Buah keranji atas perahu…  kakak tolong sambungkan pantun ni”

Tersenyum sebentar saya membaca mesej tersebut. Di dalam hati tertanya saya kenapa perlu saya sambungkan pantun tersebut? Pun begitu saya rasa adik saya perlukan jawapan tersebut dengan segera, maka saya terus membalas dengan sambungan pantun tersebut tanpa bertanya kepadanya tentang persoalan tadi. Pulang ke rumah dari kerja di sebelah malam, ibu saya berkongsi cerita yang sama. Rupa-rupanya adik saya bukan sahaja mengirim SMS kepada saya, bahkan kepada ibu saya juga.

Lantas, perbualan dengan ibu semasa makan lewat malam sebentar tadi berkisar tentang pantun tradisi dan orang-orang muda. Walaupun sudah meninggalkan zaman persekolahan agak lama (saya bukanlah orang lama) tetapi saya masih mampu mengingati banyak perkara yang dipelajari di sekolah terutamanya subjek berkenaan tradisi & sastera, baik Bahasa Melayu, juga Bahasa Inggeris.

Oleh kerana jarak usia saya dan adik-adik tidak lah begitu jauh, saya fikir kurikulum subjek yang diajar di sekolah seharusnya tidak lah terlalu banyak berbeza. Jadi terdetik juga di hati rasa marah, "Nak kena hantar sekolah balik ni..." Tetapi peristiwa hari ini mengesahkan bahawa sangkaan saya meleset, ternyata terlalu banyak bezanya. 

Buah cempedak di atas pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Bila ditanya kepada tiga orang adik saya tentang peribahasa, simpulan bahasa, bidalan, pantun, syair dan sajak; mereka mengakui bahawa pendedahan di sekolah hanya secukupnya untuk digunakan semasa peperiksaan. Oleh kerana pendedahan tersebut hanya di sekolah dan untuk subjek Bahasa Melayu dan sangat jarang digunakan di dalam perbualan harian, maka seperti menjadi kurang berkepentingan dalam kehidupan mereka.

Terasa sayang sekiranya masyarakat kita, terutamanya golongan muda, menjadi generasi yang bakal ‘membunuh’ kecantikan Bahasa Melayu. Setakat belajar di sekolah dan terlalu sedikit pendedahan tentang cantiknya bahasa ibunda kita, mana boleh saya salahkan adik-adik saya kerana kedangkalan ilmu dan penggunaan bahasa yang betul?

Selain dari belajar di sekolah, saya gemar menonton filem klasik yang mana telah banyak mendedahkan saya kepada kesusasteraan Bahasa Melayu. Saya juga gemar membaca novel klasik hasil tulisan sasterawan dan penulis-penulis Melayu yang terkenal. Secara peribadi, proses pembelajaran membentuk jati diri sebagai seorang Melayu haruslah bermula dengan mengenali bahasa dan nilai-nilainya.

Pembangunan sosial yang pantas selaras dengan pemodenan masyarakat banyak mempengaruhi nilai-nilai budaya sesebuah masyarakat. Bila kita berbicara berkenaan bahasa, saya mengakui bahawa bukan mudah untuk tidak berubah sama supaya dapat disesuaikan dengan masyarakat umum kini. Tidak dinafikan kita masih boleh berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu, walaupun kualiti bahasa tersebut kini, sudah boleh, dikatakan merosot, berbanding dahulu. Setakat bercakap bahasa pasar langsung tidak mencerminkan kemampuan seseorang menggunakan bahasa tersebut.

Dalam konteks bahasa Melayu mungkin jauh lebih payah, kerana ramai di antara kita sekadar mampu berkomunikasi lisan, tetapi tidak mampu untuk mengekalkan momentum tersebut di atas kertas (maksud saya dari segi penulisan). Sekiranya, kebolehan sesorang berbahasa hanya sekadar ‘basic’ maka dengan perlahan kepentingan bahasa pada tahap yang ‘advance’ akan berkurangan. Lama-kelamaan, hilang juga kecantikkan bahasa tersebut.

Dari mana punai melayang,
Dari paya turun ke padi;
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata turun ke hati.


Nukilan ini sekadar untuk berkongsi pendapat peribadi. Saya memahami cabaran sebagai seorang Melayu dalam mempertahankan nilai budaya dan bahasa pada ketika ini. Hendak mengemudi diri sendiri, baik dari segi kerjaya mahupun melaksanakan tanggungjawab sosial di kalangan masyarakat dan budaya yang kini memerlukan kamahiran yang tinggi. Kadang kala terasa juga seperti satu paksaan supaya dapat diterima dan bersaing di antara semua.

Kalau ada jarum patah,
Jangan simpan di dalam hati;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan simpan di dalam hati.



0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails